Saturday, March 1, 2008

Pengundi hantu masih menghantui

Kuala Lumpur, 1 Mac - Semalam Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya mengakui terdapat 8,666 orang yang berumur lebih dari 100 tahun dalam daftar pengundi. Kebanyakan mereka dipercayai sudah meninggal dunia.

“Adalah tanggungjawab SPR untuk menyemak dengan Jabatan Pendaftaran dan memastikan nama mereka yang sudah mati dikeluarkan” kata Timbalan Presiden KeADILan Dr. Syed Husin Ali.

“SPR tidak ada alasan samasekali untuk menyatakan tidak sempat mengeluarkan nama mereka ini dari daftar pengundi. Perkara pengundi 100 tahun ke atas ini, yang sebenarnya sudah meninggal, telah ditimbulkan oleh keADILan berkali-kali sebelum dan semasa pilihanraya kecil Ijok lagi. Sekiranya SPR telus serta bertanggungjawab , mereka sepatutnya sudah lama membetulkan segala yang salah” tambah beliau.

KeADILan mendapat laporan daripada ramai sekali pengundi bahawa nama mereka telah dipindahkan ke tempat lain di merata Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun mereka masih tinggal dalam kawaan Kuala Lumpur dan Selangor dan mengundi dekat dengan rumah kediaman mereka dalam pilihanraya lalu.

“Pengundi lebih 100 tahun dan mereka yang dipindah ke tempat lain dan tidak boleh atau tidak mampu ke sana untuk mengundi, dengan mudah saja boleh diambil tempat mereka oleh pengundi hantu.

“SPR mengetahui tentang hal ini sebab berkali-kali telah dibangkitkan sebelum, semasa dan selepas Ijok oleh keADILan serta parti-parti lain dan juga oleh Bersih. Akan tetapi SPR membiarkannya saja, mungkin kerana hendak memberi peluang kepada Umno-Bn mengambil kesempatan.” kata Dr. Syed.

Mengikut beliau, KeADILan mendapat khabar tidak kurang dari 40,000 orang pengundi hantu akan ke Kelantan dari merata tempat di Semenanjung dan juga Selatan Thai.

“Adakah SPR sudah bersedia untuk membuka ruang, dalam daftar undi yang digunakannya sendiri, untuk memberi peluang kepada mereka ini mengundi sebagai pengundi hantu? Kami mendesak supaya SPR memastikan undi-undi hantu ini tidak akan dibenarkan menjalankan kerja haram mereka.”


Keluaran Dalam Negara Kasar Naik Tetapi Taraf Hidup Turun

Kuala Lumpur, 28 Feb - Pengumuman Bank Negara bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak ke 7.3 peratus dalam suku keempat 2007 adalah di luar dugaan kata Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali dalam kenyataan media yang dibuat hari ini. Jangkaan kenaikan untuk 2007 oleh Kerajaan sendiri ialah 6.3 peratus, berbanding dengan 5.0 peratus bagi tahun 2006. Malaysian Institute for Economic Research (MIER) pula telah menganggarkan kenaikan hanya sebanyak 5.4 peratus saja bagi tahun 2007.

Dr. Syed bertanya “Adakah ia dikeluarkan semata-mata untuk membantu Umno-Bn dalam kempen pilihanraya ke-12 ini?”

Bank Negara menyatakan lonjakan tersebut hasil dari perbelanjaan pengguna yang bertambah disokong oleh aktiviti swasta yang kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang meningkat.

“Tidak ada bukti perbelanjaan pengguna bertambah, bahkan ini tidak mungkin sebab kuasa beli rakyat terutama sekali berkurangan akibat tiadanya peningkatan pendapatan sebenar kerana pendapatan tidak bertambah dan harga barang keperluan meningkat.

“Aktiviti swasta pun tidak begitu kukuh sebab keadaan ekonomi baru pulih lebih separuh saja selepas krisis kewangan yang bermula pada tahun 1997. Juga, jumlah dan kadar pelaburan langsung (FDI) rendah dan tidak menunjukkan tanda bertambah” kata Dr. Syed.

Banyak perjanjian Kerajaan BN untuk perbelanjaan lebih besar untuk beberapa projek gergasi yang masih belum dilaksanakan.

“Memang ada penambahan perbelanjaan awam yang lebih kecil, tetapi adakah mereka mempengaruhi secara signifikan lonjakan KDNK itu?” tambah beliau.

KDNK dikatakan bertambah tetapi ia tidak tercermin pada kenaikan taraf hidup rakyat ramai. Mengikut Manifesto BN, pendapatan sebenar isi rumah di Malaysia pada tahun 2007 ialah RM3,617 berbanding dengan RM3,249 pada tahun 2004, tanpa mengambil kira inflasi.

Pertumbuhan bagi setiap tahun hanya sebanyak 3.6 peratus. Kadar inflasi pula perlu diambil kira pada tempoh yang sama mengikut indeks harga - PI – yang diumum kerajaan). Ini bermakna pertumbuhan pendapatan seisi keluarga ialah hanya sebanyak 1.0 peratus saja bagi tiap-tiap tahun.

“Apakah yang Datuk Seri Abdullah Badawi dan Umno-BN hendak banggakan tentang kemajuan yang dicapai di bawah Umno-BN? Pendapatan tidak naik. Harga barang melambung. Rakyat ramai tidak mendapat faedah dari lonjakan KDNK. Tetapi hanya segelintir kecil dari golongan elit yang mengaut bahkan merompak kekayaan negara” tegas Dr. Syed

Labels: